Tuesday, March 12, 2013

Tun Musa finally found his courage


Tun Musa pertahan dasar Buku Jingga PR

Jamilah Kamarudin
 | March 12, 2013
Dakwaan ekonomi bangkrap adalah kenyataan politik berkepentingan sebelah pihak sahaja yang sengaja dijaja untuk menakutkan rakyat
FULL REPORT
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam menepis dakwaan bahawa ekonomi negara akan bankrap sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Pusat selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).
Musa berkata, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya Pakatan Rakyat mampu menjaga kestabilan sektor pelaburan yang menjadi asas dalam struktur ekonomi negara.
Katanya, spekulasi itu hanya kenyataan politik berkepentingan sebelah pihak sahaja yang sengaja dijaja untuk menakutkan rakyat.
“Jika sekali pun pembangkang memerintah negara mereka tidak akan sebegitu bodoh mahu membiarkan ekonomi negara muflis seperti yang lain sangkakan.
“Saya tak fikir ekonomi negara akan musnah, sama seperti apa yang pernah saya jelaskan kepada beberapa sektor perbankan dan pelabur asing.
“Perkara asasnya kita kena menjaga komuniti pelaburan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. selepas menghadiri Bicara Minda ‘Survival Ekonomi Melayu’ di Kompleks Karangkraf.
Wujud spekulasi
Wujud beberapa spekulasi yang meramalkan hutang negara akan bertambah sehingga menyebabkan muflis sekiranya Pakatan mengamalkan dasar ekonomi yang dijanjikan dalam Buku Jingga.
Antaranya penghapusan tol, pengurangan harga minyak, pendidikan percuma serta  menurunkan harga kereta.
Musa berpendapat tidak ada pihak yang sanggup dan  sengaja membiarkan ekonomi jatuh kerana ia tanggjungjawab selepas diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara.
“Hasrat mereka (Pakatan) sama seperti yang lain iaitu untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Sebab itu mereka bersaing untuk menang dalam PRU dan untuk membuktikan siapa lebih layak,” katanya.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu juga berkata, semua pihak perlu menerima hakikat tidak mustahil perkara ini akan berlaku dalam realiti dunia politik demokrasi.
Enggan ulas lanjut
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut  mengenai perincian dasar ekonomi yang ditawarkan Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat kini giat turun padang memberi penjelasan kepada rakyat tentang tawaran dasar ekonomi yang dirangka bagi meraih sokongan undi semasa PRU 13 nanti.
Manakala di pihak Barisan Nasional (BN) termasuk pemimpinnya menganggap tawaran Pakatan itu mampu menggugat kestabilan ekonomi.
Malah, wujud perang siber di media sosial yang menyiarkan video dan menggelarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Mr Mansuh’.
Sementara itu, Musa dalam ucapannya menyelar sikap sesetengah ahli politik yang gemar memainkan sentimen perkauman sebagai modal politik.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah terdesak yang akhirnya boleh memusnahkan negara.
Bangkrap politik
“Barang siapa guna isu perkauman dia adalah ahli politik yang bankrap.
“Banyak isu yang boleh dibahaskan untuk pembangunan negara selain hanya nak takutkan rakyat dengan isu perkauman,” tegasnya.
Sementara itu, beliau yakin Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjaya mencapai matlamat apabila kemiskinan tegar semua kaum dapat dikurangkan.
Malah beliau berpendapat 30 peratus penglibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi juga turut tercapai.
Musa yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu turut menepis persepsi survival ekonomi Melayu kini terancam.
Katanya, perasaan rendah diri  boleh berubah sekiranya pemimpin tidak menyalahgunakan peluang yang ada untuk kepentingan politik.
******************************************
SHAH ALAM – Ahli politik yang menggunakan isu perkauman sebagai bahan kempen mereka adalah ahli politik bankrap, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Beliau bekata, melihat kepada perkembangan hari ini banyak perkara yang boleh dibahaskan secara membina.
“Kita dalam suasana pilihan raya umum (PRU) pada pendapat saya dulu, baru ini dan sekarang, barang siapa yang menggunakan perkauman sebagai isu politik adalah ahli politik yang bankrap,” katanya pada program Bicara Minda Survival Ekonomi Melayu di Kompleks Media Karangkraf, hari ini.
Musa berkata, jika dahulu, parti politik boleh gunakan isu perkauman jika berada di kawasan-kawasan yang ada majoriti kaum tetapi kini tidak lagi.
“Sekarang tidak boleh lagi, kerana macam-macam kejayaan yang kerajaan dah buat, kerajaan jangan berasa malu. Kerajaan harus berasa bangga dengan kejayaan yang telah dibuat, tentulah ada kritikan dan yang menentang, dalam politik itu perkara biasa.
“Tetapi berdebatlah, tunjuk dengan bukti diatas kebolehan-kebolehan itu, bukan mempertangguhkan apa yang dibuat, dan kita merasa takut, kita dimomokkan dengan keadaan ini, dan penghabisan kita terdesak dan itu yang akan memusnahkan kita,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana untuk mengubah minda Melayu dan gerak kerja yang berasaskan perkauman.
Beliau berkata, perkara itu memerlukan tempoh yang lama dan bergantung kepada kepimpinan politik.
“Itu yang saya dukacita, jika kita bergantung pada akedemik senang sikit kita boleh belajar dan natural proses. Tetapi dari segi mentaliti nak ubah, sukar jika kita ada sistem politik begitu terbuka, misalnya di Malaysia.
“Di Malaysia perkiraan politik masih berasaskan perkauman, jika kita pergi ke kawasan banyak Melayu kita cakaplah hak Melayu, kita perjuang orang Melayu, bila kita pergi ke kawasan cina, kita cerita pasal Cina apa-apa yang perlu dipertahankan.
“Pada saya sikap merendah diri boleh berubah jika ahli politik itu mahu memperkukuhkan dan tidak salah gunakan isu perkauman dari segi perkembangan politik,” katanya.
Menurut beliau, soal ekonomi Melayu merupakan soal fundamental yang akan menentukan ke arah mana negara akan tuju. – SH


No comments:

Can a Dead Duck come back alive?

  I HAVE NOT SEEN A MIRACLE FOR A LONG, LONG TIME. HAVE YOU SEEN ONE? ZAHID GIVEN A DNAA. NAJIS SENTENCE GIVEN A 50% DISCOUNT. ZAFRUL NOT CH...